Sertai Komuniti Penulis Bestseller

Email:
First Name:
 

Monday, July 29, 2013

Bagaimana guru yang sibuk menulis buku?



Pada hari ini saya ingin sekali menemubual secara ringkas Tuan Wan Zayuhisham Wan Yusoff dalam proses penghasilan buku Cikgu Anak Saya Okey? terbitan Galeri Ilmu.

Mohon mencuri sedikit masa untuk Tuan berkongsi tip-tip berdasarkan tiga soalan berikut;

(1) Bagaimana disiplin penulisan yang dilakukan bagi menghasilkan buku ini?
(2) Apakah perkara yang dimahukan oleh Galeri Ilmu untuk menerima dan menerbitkan buku ini?
(3) Adakah Tuan bersedia menerima co-author, buku bagaimana Tuan suka berkolaborasi


(1) Bagaimana disiplin penulisan yang dilakukan bagi menghasilkan buku ini?

Saya bukanlah penulis sepenuh saya dan terikat dengan tugasan-tugasan rasmi yang tidak pernah surut.

Setiap saat itu cukup penting dan tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Di antara perkara yang boleh dikongsi ialah :

(a) Selang waktu menunggu anak pulang sekolah, saya akan berada di satu restoran dengan berbekalkan laptop untuk menulis, sekurang-kurangnya setengah muka surat ditulis pun sudah memadai bagi saya. Jika tidak, pada waktu begini saya akan ambil masa untuk ulangkaji/membaca buku-buku berkaitan dengan apa yang bakal saya tulis.

(b) Saya akan mula menulis secara serius selepas selesai solat Isyak dan berkurung di dalam stesen kerja (bilik khas) hingga pukul 12 malam atau 1 pagi. Konsep mudah sahaja, sehari satu bab tanpa apa-apa suntingan.

(c) Apa yang menarik semasa menulis buku ‘Cikgu, Anak Saya Okey’ (CASO), ada beberapa kes itu belum selesai tetapi saya sudah sampai ke titik akhir bab kes berkenaan. Kemudian tindakan saya di sekolah ialah mengikut skrip yang saya tulis dalam bab berkenaan.

(d) Saya juga tidak bertangguh ketika menulis manuskrip CASO ini kerana saya mahu pastikan ia siap sebelum tarikh akhir serahan.

(e) Saya bertuah kerana bekerja sebagai seorang guru dan dapat menggunakan cuti persekolahan sebagai ‘penulis sepenuh masa’ walaupun kena bertugas di pejabat pada waktu tertentu yang ditetapkan oleh Guru Besar.

(2) Apakah perkara yang dimahukan oleh Galeri Ilmu untuk menerima dan menerbitkan buku ini?

Sebelum diberi ilham oleh-Nya untuk menulis buku ini, seperti biasa saya keluar bersarapan atau minum petang dengan mentor penulisan saya iaitu Tuan Haji Zakaria Sungib di sekitar Kota Damansara.

Satu perkara yang dicetuskan oleh beliau ialah, “Cikgu tulis sebuah buku yang hanya mampu dihasilkan oleh seorang guru dan orang lain tidak mampu menulisnya.”

Inilah antara baris kata-kata beliau terhadap saya pada tahun 2012 yang lalu. Lalu tercetuslah idea menulis buku CASO ini.

Di antara perkara-perkara yang dimahukan oleh Galeri Ilmu Media Group (GIMG) sebagai mana yang dikongsi oleh Tuan Haji Zakaria sebentar tadi ialah;

GIMG menurut apa yang saya tahu, mahu melahirkan dan membanyakkan produk yang boleh mendidik, memberi motivasi dan membetulkan persepsi pembaca.

Salah satu sasarannya adalah institusi keluarga.

Melalui bahan bacaan yang diterbitkan, ia dapat membantu memperkasa institusi keluarga.

Bagi buku berbentuk motivasi, GIMG mengutamakan pendekatan yang dekat dengan pembaca dan menjurus kepada pengalaman serta penceritaan.

Di sini saya kira buku CASO memenuhi corak buku dan pendekatan penulisan yang GIMG mahukan.

Buku ini ada nilai motivasi yang disulam penceritaan berdasarkan pengalaman sebenar.

Bagi ibu bapa yang mahu menyelami dunia persekolahan anak-anak mereka dan mengambil tahu isu atau permasalahan yang berlegar di sekolah atau di dalam kelas, CASO membantu memberi maklumat dan pendedahan.

Sudah tentu, sebagai sebuah syarikat penerbitan, elemen komersial juga diambil kira.

(3) Adakah Tuan bersedia menerima co-author, buku bagaimana Tuan suka berkolaborasi.

Jika sesuai dengan masa dan keadaan, apa salahnya. Apa yang penting boleh bekerjasama dan faham dengan tugas masing-masing.

Walaupun begitu, saya agak segan andainya saya tidak mampu mencapai tahap yang diinginkan oleh rakan penulis tersebut

Impian saya ialah menulis novelet tarbiah awal remaja, dan kalau ada sesiapa berminat boleh kita berbincang dan berjumpa dengan editor yang berminat.

Jika di GIMG, Insya-Allah mudah saya ajukan perkara ini.

No comments:

Post a Comment