Sertai Komuniti Penulis Bestseller

Email:
First Name:
 

Thursday, August 2, 2012

Benarkah karya murah dibeli oleh pembaca?


Apakah nilai kedua yang mahu dimiliki pembaca ke atas karya?

"Karya saudara murah untuk saya miliki."

Faktor harga juga memainkan peranan kepada karya yang diterbitkan. Peranan harga penting dalam situasi jualan buku yang berbeza.

Buku yang dijual ketika program bersama penulis sebaik-baiknya digenapkan sahaja jualan agar mempercepatkan jualan buku.

Dalam situasi ini, penjual akan menolak harga buku daripada diskaun pengedar yang diterimanya daripada penerbit.

Faktor harga buku yang murah dan topik yang relevan menjadi gandingan bagi menjual buku-buku kepada khalayak.

Ini berlaku kepada buku-buku Siri Buat Duit terbitan PTS Media Group. Buku-buku ini terjual dengan baik ketika situasi kegawatan tahun 2008. Buku-buku ini memperkenalkan topik-topik survival dalam kegawatan ekonomi melalui penyelesaian bisnes kecil.

Apabila keadaan ekonomi pulih, buku-buku ini berhadapan situasi jualan yang perlahan.

Faktor harga murah semata-mata tidak memberi jaminan buku akan terjual dengan baik setiap masa. Ia diperkuatkan dengan topik yang relevan kepada pembaca.

Penguin

Situasi buku murah menjadi relevan dalam sejarah penerbitan Penguin. Malah sehingga hari ini Penguin masih bermain dengan cara yang sama bagi sebahagian sirinya.

Bayangkan buku yang kita baca ketika ini hanya khusus kepada kelas menengah atasan. Buku ini ditulis dan hanya boleh dibaca oleh ketua jabatan dan pemilik organisasi. Maklumat dalam buku hanya boleh diakes oleh pihak atasan kita

Apakah akan berlaku kepada saudara selepas itu?



Perkara ini berlaku sekitar 1930-an apabila buku-buku yang dijual di pasaran hanya mampu dibeli oleh golongan menengah atasan di Britain.

Harga yang dipamerkan pada kulit-kulit buku adalah harga mampu beli oleh golongan ini sahaja. Sedangkan keperluan membaca itu adalah keperluan pada setiap lapisan masyarakat.

Harga buku yang mahal menjadi buku sebagai produk yang ekslusif untuk ditawarkan pada golongan berwang.

Semestinya golongan yang berwang ketika itu adalah para pemilik perniagaan, waris aristokrat dan mereka yang berpendidikan tinggi.

Satu-satunya cara bagi kelas bawahan membaca adalah melalui perpustakaan.

Kesannya, apa jua keputusan dan penyelesaian datang dari atas turun ke bawah. Tidak ada interaksi ilmu kesan daripada pengetahuan yang terhad.

Keadaan ini akan memburukan situasi masyarakat, menambahkan lagi konflik-konflik kecil di sana-sini yang tidak selesai kesan daripada pengedaran buku yang terhad untuk kelas menengah atas.

Keadaan ini dikesan secara kebetulan oleh seorang lelaki bernama Allen Lane. Ketika beliau dalam perjalanan menemui Agatha Christie di Devon, Lane singgah ke stesyen Exeter bagi mendapatkan bahan bacaan yang dijual di kedai buku. Setidak-tidaknya Lane ada sesuatu hendak dibaca dalam perjalanan pulang ke London.

Apa yang dilalui oleh Lane menyedarkan beliau. Buku yang berkualiti dan bagus isi kandunganya tidak langsung dijual di kedai-kedai buku seperti di stesyen Exeter.

Sebaliknya hanya majalah dan novel yang kurang berkualiti. Itulah bahan bacaan orang awam di sekitar Britain.

Lane tidak boleh menunggu orang lain menyelesaikan hal ini, maka beliau bertindak. Lane memperkenalkan buku-buku berkualiti pada harga murah di bawah jenama Penguin.

Buku-buku dijual pada harga serendah enam penny.

Menurut Lane, “Kami percaya di negara ini memerlukan budaya membaca buku yang berkualiti secara besar-besaran pada harga mampu beli.”

Penguin pada asalnya bermula dengan buku-buku fiksyen tulisan Ernest Hemingway, André Maurois and Agatha Christie.

Bagi memudahkan pembaca, ia dikodkan dengan warna-warna seperti oren, biru dan hijau bagi kategori berbeza. Kod warna oren adalah bagi buku fiksyen, hijau bagi buku jenayah dan biru bagi buku biografi.

Siri Penguin dilancarkan pada tahun 1935 mengubah sejarah dunia buku Britain dan mencipta musuh-musuh tersendiri.

Musuh-musuh Lane adalah musuh dalam industri buku sendiri. Mereka tidak berpuas hati dengan pengenalan konsep buku murah dalam siri Penguin yang terjual melebihi tiga juta naskhah dalam tempoh dua belas bulan.

Ini bermakna, golongan awam dan pekerja biasa adalah pembeli terbesar buku-buku berkualiti terbitan Penguin.

Penguin hidup dalam suasana Perang Dunia Pertama. Pada tahun 1937 Penguin mula memperkenalkan siri non fiksyen di bawah jenama penerbitan Pelican.

Dalam konflik perang dunia pertama, Lane melalui Pelican telah mengeluarkan sebuah buku berjudul Aircraft Recognition.

Buku ini membantu para pembaca dan tentera untuk mengenalpasti jenis-jenis kapal terbang musuh. Dalam keadaan perang, buku ini menjadi panduan bagi mengurangkan risiko kecederaan peribadi dan membuat persiapan berjaga-jaga.

Tentera Britain yang terpaksa berpisah dengan keluarga dan tempat tinggal melalui situasi mengurus konflik dalam diri antara tanggungjawab dalam negara dan kasih kepada yang keluarga.

Lane menyedari betapa pentingnya remedi bagi memecahkan gelojak dalam diri para tentera.

Siri penerbitan buku Penguin juga dibekalkan kepada para tentera sebagai hiburan ketika bertugas.

Ada anggota tentera yang membawa buku terbitan Penguin yang digemari dan dibawa bersama dalam poket dan kit yang disediakan.

Ini adalah cetusan idea Lane memperkenalkan kelab buku di kalangan anggota tentera. Kelab buku ini menjadi ruang bagi anggota tentera berdiskusi mengenai buku-buku di bawah jenama Penguin yang mereka baca.

Ia menjadi terapi kepada para anggota tentera yang dihantar kerajaan British semasa perang dunia tersebut.



Apakah menyebabkan nilai buku yang bersandarkan harga yang murah penting?

  • Buku murah memenuhi kumpulan berpendapatan rendah bagi memiliki buku. Malah mereka mempunyai komuniti sendiri.
  • Buku murah memenuhi keperluan pembaca buku 'pakai buang' dan santai.
  • Buku murah mengumpan dan mendidik pembaca agar setia kepada jenama dan penulis tersebut. Apabila diperkenalkan buku pada harga lebih mahal, pembaca bersedia membeli. Di sini peranan tribe sebagaimana disebutkan oleh Seth Godin memainkan peranan.
  • Buku murah adalah survival penulis dan penerbit ketika kegawatan ekonomi. Jualan pada kuantiti yang besar dijual dalam masa yang singkat ditekankan oleh penerbit. Buku-buku beredar di kedai-kedai buku sebagai penguasaan kek industri buku.
Bagaimana meminimakan risiko penolakan karya? Klik di sini   

4 comments:

  1. Di Malaysia ini masih banyak tempat yang menjual bahan bacaan dengan lambakan novel yang tidak tersusun bahasanya serta majalah hiburan yang rendah isinya.

    Keadaan seperti di Exeter berlaku juga di Malaysia hatta di bandar-bandar besar juga.

    ReplyDelete
  2. Saya teringat akan novel-novel detektif terjemahan seperti Siri Hadi, 5 Sekawan, Siri Sekolah dan pelbagai lagi hasil karya Tuan Enid Blyton yang menjadi kegilaan semasa remaja. Ia juga dijual pada harga RM 3.90 yang mampu dimiliki oleh pelajar sekolah.

    Betapa buku murah dan berkualiti ini mampu menjadi pencetus minat membaca dan menghasilkan pembaca tegar setiap generasi.

    ReplyDelete
  3. Oh! Terima kasih berkongsi sejarah Penguin. :)

    ReplyDelete
  4. Tuan Zamri,
    Terima kasih. Teruskan menulis bagi memandaikan bangsa.
    Kami suka.
    PuanWaiz@gmail.com

    ReplyDelete